Iman ialah mengikrarkan secara lisan dan membenarkan dengan hati. Disempurnakan pula dengan mengerjakannya dengan anggota. Tuhan itu wujud, namaNya Allah SWT dan mempunyai 99 Asma-Ul-Husna.
Tuhan mempunyai sifat banyak sekali. Dibahagikan kepada 3 bahagian – Sifat Jalal (Kebesaran), Jamal (Keindahan) dan Kamal (Kesempurnaan). Sifat yang wajib diketahui ialah oleh sekelian mukmin yang baligh berakal ialah 20 sifat yang wajib. Manakala 1 adalah harus iaitu Boleh Memperbuat. Wajib dipercayai Malaikat itu ada dan dalam jumlah yang banyak. Tetapi yang wajib diketahui hanyalah 10 jumlahnya.
Wajib dipercayai adanya kitab-kitab suci yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-RasulNya untuk disampaikan kepada kaum/umatnya ketika itu. Kitab-kitab suci ini banyak namun yang wajib dipercayai hanyalah 4 buah.
Mempercayai semua Rasul-Rasul yang diutuskan Allah SWT kepada manusia. Rasul-Rasul ini ramai bilangannya tetapi yang wajib dipercayai hanyalah 25 orang.
Wajib mempercayai hari akhirat - kematian, azab kubur, kiamat, kebangkitan di Padang Mahsyar, hisab – perhitungan dosa dan pahala, timbangan dosa dan pahala, titian Shirathal Mustaqim, Telaga Kautsar, balasan Syurga dan Neraka dan melihat Allah SWT di Syurga - dengan mata dan kepala, cara mana kita tidak tahu, kita hanya disuruh meyakininya dan jangan pula beranggapan bahawa Allah SWT itu ada di dalam Syurga tetapi kita pasti akan melihatNya.
Mempercayai Qadha dan Qadar sebagai Takdir Illahi sebagaimana berikut: Segala yang terjadi di dunia ini sudah ada Qadha Allah SWT iaitu hukum Allah SWT sejak azali, bahawa hal itu akan terjadi. Segala yang terjadi di dunia ini – buruk dan baik pada hakikatnya dijadikan Allah SWT dan manusia hanya menjalani takdir.Yang ada pada manusia hanyalah kasab, ikhtiar dan usaha.
Pahala anugerah Allah SWT adalah kerana kurniaNya dan hukuman yang diberikan Allah SWT adalah kerana keadilanNya.
Allah bersama AsmaNya dan SifatNya, semuanya qadim dan berdiri di atas Zat yang qadim. Al-Qur’anul Karim adalah Kalamullah yang qadim bukannya hadits atau makhluk.
Rezeki manusia telah ditakdirkan sejak azali – tidak berkurang dan tidak bertambah. Manusia disuruh mencari rezeki, berusaha dan tidak boleh menunggu sahaja. Walaupun begitu, adalah tidak mustahil bagi Allah SWT untuk mengurniakan rezeki kepada manusia tanpa sebarang usaha.
Bahawa tawakkal, usaha, berdoa, harap, takut, syukur dan redha adalah suatu maksud yang bersatu dan tidak bercerai berai.
Ajal setiap manusia sudah ada di dalam ketetapan Allah SWT – tidak didahulukan dan tidak pula dikemudiankan walaupun sedetik. Tetapi manusia diperintahkah Allah SWT supaya berubat jika sakit dan tidak boleh menunggu ajal sahaja.
Doa orang mukmin akan memanfaatkan dirinya dan bagi yang didoakan olehnya.
Pahala sedekah, wakaf dan pahala bacaan tahlil/selawat/Al-Qur’an boleh dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia dan akan sampai kepada mereka yang meninggal jika dimohon kepada Allah SWT untuk menyampaikannya.
Ziarah maqam/kubur samada Rasulullah SAW, ibubapa, ulama’, aulia’, syuhada’, para sahabat Baginda SAW dan lain-lain yang berkaitan adalah sunat hukumnya.
Berdoa kepada Allah SWT secara langsung atau bertawassul menggunakan nama Rasul-Rasul, Anbia’, Aulia’, Sholihin dan lain-lain yang berkaitan dengannya adalah sunat hukumnya.
Masjid di seluruh dunia adalah sama darjatnya kecuali 3 buah iaitu Masjid Makkatul Mukarramah, Madinah Munawarah dan Baitul-Muqaddis. Bersolat di masjid-masjid ini adalah ibadat dan pahala diberikan.
Seluruh manusia adalah keturunan daripada Nabi Adam AS yang berasal daripada tanah.
Jin, Iblis dan Syaitan dijadikan Allah SWT daripada api/cahaya dan dasar api yang sangat panas. Para Malaikat dijadikan daripada Nur.
Mempercayai kewujudan bumi dan langit.
Asma Allah SWT tidak boleh direka-reka kecuali yang telah termaktub dalam Al-Qur’an dan Al-Hadis.
Sekiranya terdapat ayat-ayat Al-Qur’an yang seolah-olah menyatakan bahawa Tuhan itu bertubuh, bertangan, berupa, duduk dan turun seumpama manusia, maka Ulama’ Ahlussunnah wal Jama’ah mentakwil/tafsirkan ayat-ayat ini secara majazi bukan mengikut asal pengertian dari perkataan-perkataan itu. Kemudiannya mereka menyerahkan maksud sebenarnya kepada Allah SWT semata-mata yang Maha Mengetahui yang sirr.
Kebangkitan sesudah mati hanyalah sekali. Manusia yang asalnya tiada, kemudian dilahirkan ke dunia, sesudah itu mati dan akhirnya bangkit untuk dibicarakan. Manusia tidak mungkin hidup kembali atau dilahirkan semula dalam bentuk yang lain atau masuk ke dalam tubuh manusia/tanasukh arwah (kecuali perbuatan bida’ah sihir dan jin/iblis/syaitan) dsb.
Anugerah pahala dan dosa termasuk mengutus para Rasul adalah kurnia dan keadilanNya dan bukanlah Allah SWT dipaksa, terpaksa atau menjadi suatu kewajiban. Maha Suci Allah SWT daripada segala kekurangan.
Wajib diketahui dan diyakini oleh seluruh umat Islam bahawa Nabi Muhammad Rasulullah SAW diputerakan di Makkatul-Mukarramah. Baginda diangkat menjadi Rasul semasa berumur 40 tahun dan diturunkan ayat-ayat Al-Qur’an berturut-turut/berperingkat selama 23 tahun. Selepas 13 tahun menjadi Rasul, baginda berhijrah, menetap dan wafat di Madinah.Rasulullah SAW adalah manusia seperti kita dan bukannya seorang malaikat.
Baginda makan, minum, tidur, berkahwin dan berkeluarga. Namun begitu, kemanusiaan baginda adalah luar biasa dan kuat– rohani dan jasmaninya kerana kepada baginda diturunkan wahyu Illahi yang sekiranya diturunkan kepada bukit nescaya hancur-leburlah bukit berkenaan. Baginda adalah Saidul Khalaik iaitu makhluk Allah SWt yang termulia, diikuti oleh para Rasul dan Nabi dll.
Silsilah Rasulullah SAW ialah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Marrah bin Ka’ab bin Luai bin Galib bin Fihir bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Ma’ad bin Adnan. Dari pihak bondanya Aminah pula ialah Muhamamad bin Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab dan seterusnya sebagaimana sebelah Ayahandanya, Abdullah.
Isteri-isteri Rasulullah SAW dari bermula perkahwinannya sehingga wafat adalah:- Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid, ‘Aisyah binti Abu Bakar, Hafshah binti Umar, Ummul Salamah binti Abi Umaiyah, Ummu Habibah binti Abu Sufyan, Sauda binti Zam’ah, Zainab binti Khuzaimah, Maimunah binti Harith, uwairiyah binti Harith dan Safiyah binti Hay RADIALLAHU ANHUNNA.
Anakanda-anakanda Rasulullah SAW ialah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Siti Fatimah, Qasim, Abdullah dan Ibrahim (kesemua anakanda lelaki diwafatkan Allah SWT semasa kecil mereka) RADIYALLAHU ANHUM.
Rasulullah SAW diutuskan Allah SWT kepada seluruh manusia, tidak kira bangsa, keturunan, negeri, agama, etnik, warna kulit dsb.
Rasulullah SAW dimikrajkan ke langit dengan ruh dan jasadnya menerusi Baitul-Muqaddis pada 27 Rejab dan baginda kembali pada malam yang sama untuk membawa perintah solat 5 waktu sehari semalam.
Rasulullah SAW adalah yang mula-mula diangkat menjadi Nabi & Rasul sebelum Nabi Adam AS di mana Nabi Adam AS telah terlihat, menghafal dan membacakan nama Rasulullah SAW tertera di tiang Arash. Dan baginda juga merupakan Nabi & Rasul yang terakhir dilahirkan ke dunia.
Rasulullah SAW memberikan syafa’at di akhirat kepada seluruh manusia setelah manusia mendesak hisab disegerakan di Padang Mahsyar.
Sesudah kewafatan Rasulullah SAW, maka penggantinya (bukan sebagai Nabi atau Rasul) adalah Khulafa Ar-Rasyidin iaitu Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Usman dan Sayyidina Ali RADIYALLAHU ANHUM.
Wajib diyakini bahawa kesemua sahabat Rasulullah SAW seperti Khulafa Ar Rashidin, Talhah Ibnu Ubaidillah, Zubir Ibnu Awam, Abdul Rahman bin Auf, Sa’ad Ibnu Abi Waqash, Said Ibnu Zaid, Abu Ubaidah, Amir Ibnu Jarrah, Zaid Ibnu Tsabit, Ahli Perang Badar dan Uhud, Ahli Baitul Ridhwan dan lain-lain sahabat baginda telah dijamin Syurga.
Dalam soal pertikaian dan peperangan yang terjadi antara para sahabat Rasulullah SAW seumpama Peperangan Jamal antara Siti Aisyah dan Sayyidina Ali, Peperangan Siffin antara Sayyidina Ali dan Mu’awiyah tidak boleh dibahaskan atau disokong mana-mana pihak. Tanggapan yang paling tepat ialah peperangan berkenaan adalah menurut ijtihad masing-masing di mana yang benar mendapat dua pahala dan yang salah mendapat satu pahala sahaja.
Perlu diyakini bahawa sekelian keluarga baginda SAW khususnya Siti Aisyah Ummul Mukminin yang tertuduh melakukan kesalahan adalah suci bersih dari sebarang noda di mana fitnah ini telah dilancarkan ke atas keluarga Rasulullah SAW adalah direka-reka semata-mata.
Darjat Kerasulan adalah kurniaan Allah SWT dan tidak boleh diusaha-usahakan menerusi khilwah, tahannus, suluk, belajar pondok dsb. Rasul-Rasul Allah SWT dianugerahkan Mukjizat yang luarbiasa, ganjil dan mencarik adat kemanusiaan biasa.
Meyakini adalah Karomah iaitu perkara-perkara mencarik adat berlaku di kalangan Aulia Allah SWT termasuk para Solihin. Menolak sekeras-kerasnya istidra’ yang berasal daripada sihir atau amalan yang sengaja ditunjuk-tunjukkan, permainan halus/jin/iblis/syaitan dan yang seumpamanya.
Wajib dipercayai adanya Arash iaitu ciptaan Allah SWT dari Nur, berada di tempat yang tinggi dan mulia, yang tidak diketahui hakikat dan kebesarannya kecuali Allah SWT sendiri yang Maha Mengetahuinya. Begitu juga dengan Kursi yang bertalian dengan Arash – juga tidak diketahui hakikat kedudukannya.
Wajib dipercaya adanya Kalam, ciptaan Allah SWT untuk menuliskan sesuatu yang akan terjadi di dalam Luh Mahfuz.
Syurga dan Neraka bersama penduduknya akan kekal selama-lamanya.
Terdapat dosa besar dan dosa kecil. Dosa kecil diampunkan selagi tidak dikerjakan dosa besar dan dosa besar hanya dapat diampuni menerusi taubat kepada Allah SWT.
Menerima Al-Qur’an dan Al-Hadis serta merujuk kepada ijmak ulama dan kias tanpa sebarang keraguan lagi.
Demikianlah secara ringkas mengenai i'tiqad Ahlussunnah Wal-Jamaah. Banyak lagi yang tidak dapat dinukilkan di sini. Moga-moga risalah kecil ini dapat memberikan taufiq dan hidayah kepada saudara-saudari pembaca.
Sumber asal
Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
No comments:
Post a Comment