Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Nov 2, 2010

Alhamdulillah (الحمد لله)

الحمد لله
Segala pujian bagi Allah


Maksudnya jelas lagi tegas, iaitu: segala pujian itu adalah bagi Allah. Hanya untuk Allah. Iaitu, segala ucapan pujian, kesyukuran dan penghargaan itu hanya layak bagi Allah, kerana Dialah yang menjadikan segala nikmat, dan segala perjalanan dunia ini dialah yang mengaturnya. Maka jika ada sesuatu yang menggembirakan, sememangnya yang paling layak untuk menerima pujian dan penghargaan adalah Allah, kerana dialah yang telah menetapkan segala-galanya.

Seharusnya apabila kita dipuji,sebaik-baiknya kita panjangkan terus pujian itu pada Allah dengan ucapan Alhamdulillah, kerana Dialah yang sebenarnya layak untuk pujian itu, dan dengan berbuat demikian boleh mengelakkan kita daripada takabbur dan bangga diri.

Dan tidak salah mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan sesama manusia, kerana sabda Rasulullah s.a.w.:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ
"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah"
(Hadith riwayat Ahmad, Abi Daud dan Turmuzhi)

Namun, harus diingat, bahawa ucapan syukur dan pujian sesama manusia adalah bersifat majaz (kiasan) semata-mata, kerana hakikatnya, Allah lah yang menjadikan segala-galanya. Justeru setiap kali kita memuji atau dipuji, haruslah kita ingat bahawasanya yang sebenar-benar layak bagi segala pujian adalah Allah, supaya kita tidak terjerumus dalam lembah kesyirikan dan takabbur.

No comments:

Post a Comment